Kita bangsa yang selesa
berselindung di sebalik agama
membiarkan tersiksa saudara
sesekali tersentak
– kita menukar jenama
sedangkan dalam ruang selesa
kita berganjak tiada
– bimbang tertumpah air muka.
Usai musim memulau jenama
kita kembali berahi kepadanya
antara fardhu ain dengan kifayah
kita pilih bermain aksara
telefon bimbit kejap dalam genggaman
kerana yang menyanyi itu juga seagama.
Mengapa masih malu memulau hedonisme
Masih lagi menjadi hamba hawa nafsu
Terus alpa membenarkan eksperimen 5-S janaan mereka
Berjaya mengabui inti perjuangan sebenar
Sex!
Smoke!
School!
Sport!
Screen & Song!
Siapakah mangsa sebenar keadaan ini
Mereka yang berada di bumi Palestina
Ataukah kita yang lebih hina
Anak siapa mengandung sebelum akad
Anak siapa bibirnya berpuntung asap
Anak siapa ke sekolah tapi fikiran melayah
Anak siapa qiamulail bersama Manchester, Liverpool dan Chelsea
Anak siapa berbondong-bondong berpesta
Lebih kenal artis daripada ulama
Lebih hafal lirik daripada doa
Dengan ilmu sedalam lantai tempayan
Kita mencari munasabah melabuhkan sauh persoalan
di situ bahtera karam
lidah kalam tenggelam dalam
sorai ketawa
jenaka alpa.
Justeru kita bangsa yang selesa
gemar berselindung di sebalik agama.
II
Kita bangsa yang selesa
masih berselindung di sebalik agama
di sini
bangga terhimpun di laman berkolam mini
batu-batu tersusun indah memaknakan erti seni
sedangkan batu yang serupa
nilainya lebih berharga
di sana
menjadi peluru menghentam angkuh bangsa.
Pernahkah kita menafsir iktibar
daripada derita sebuah bangsa
bala yang tumpah ke atas Palestina
peritnya melimpah ke pelusuk atma
pun benarkah kita benar-benar percaya.
Sesekali peti hitam itu menayangkan sengsara
simpati melaut mencecah pantai hati
ataukah kita tak terpandang
raungan ibu
hiba ayah
titis jernih anak-anak bermata bundar
lalu segera mengalihkan berita derita
rela menonton sebaris calon penyanyi hiba
tidak cukup undi percaya; dan
kita pun sama berduka.
Sedangkan di bumimu, Palestina
apakah masih ada harga air mata
setelah setiap saat ia mengalir
bersama darah pejuang
bergaul debu petualang
III
Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
enggan berselindung di sebalik agama
iktibar daripadamu, Palestina
adalah untuk kami dakap kejap pada jiwa
bumi bertuah ini lebih empat ratus tahun
pernah bertukar milik
- Portugis, Belanda, Inggeris,
- Jepun dan komunis
kini Zionis!
Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
enggan mudah percaya dengan apa yang ada
kami gali kebenaran dari tanahmu
kami hayati perjuangan syuhadamu
kami tidak rela kiblat yang pertama itu
menjadi harta bangsa penjarah darah saudaraku.
Ayuh,
Pinjamlah semangat Salahuddin Al-Ayubi
biar mengalir ke seluruh pembuluh tubuh ini
kita rebut semula Baitul Muqaddas
kerana setiap yang hak itu punya batas
kita bukan mahu dendam berbalas
kita mahu menjadi bangsa yang peduli
Berjuang!
Walau bukan dengan ketul-ketul kerikil
dengan pena
dengan doa
dengan percaya
bahawa kita bersaudara
setiap kali bedilan singgah di laman rumahmu
gegarnya terasa di anjung semenanjung
Justeru
Kita bukan bangsa yang selesa
Tidak pernah berselindung di sebalik agama
Dengan agama jiwa nurani teguh
Dengan agama iman ini terpasak utuh.
Dengan agama kita gagalkan eksperimen durjana
Kita bina agama dan bangsa bermaruah
Membiarkan Ad-Din mengalir ke setiap pembuluh darah
Merapatkan peribadi dengan Rasulullah
Setiap satunya kembali kepada Allah.
Inna lillah
Wa inna ilaihi
Raji’un.
Nisah Haji Haron
Ampangan – USM – Ampangan
1 – 5 Sya’ban 1430 H
23 – 27 Julai
3 ulasan:
salam saudara..
sajak menarik
meninggalkan kesan mendalam DIhati
sanubari..TQ
bagus puisi nie..ramai kini yang leka dengan duniawi.. :)
Putera Melaka,
Blog - http://www.puteramelaka.co.cc/
Laman Web Stormreaders - http://www.stormreaders.co.cc/
Kedai Buku "Online" Stormreaders - http://www.stormreadersstore.co.cc/
Jom sertai Stormreaders! Dapatkan maklumat lanjut mengenai syarikat Stormreaders, produk-produk ilmiah edarannya & cara-cara untuk menjadi dan pengedar di http://www.stormreaders.co.cc/ sekarang!
diharap puisi itu dapat mencuit hati kita yg lena diulit kesenangan.bahawasanya di dunia balik sana menuntut pembelaan kita
Catat Ulasan